Solar Management bangunkan projek solar RM285 juta
KUALA LUMPUR: Solar Management (Seremban) Sdn. Bhd. akan membangunkan projek tenaga solar 50 megawatt (mW) di Rembau, Negeri Sembilan yang bernilai RM285 juta.
Pengarahnya, Tee Cheng Hua berkata, projek berkenaan dijangka siap pada penghujung November 2018.
Katanya, pihaknya telah melantik Mattan Engineering Sdn. Bhd. (Mattan) sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC).
“Mattan bertanggungjawab untuk mereka, membina dan menjalankan kerja-kerja operasi di tapak projek seluas 81 hektar,” katanya dalam sidang akhbar pelantikan EPCC dan pembekal di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Mattan, Levin Tan memberitahu pihaknya melantik China Machinery Engineering Corporation (CMEC) sebagai pembekal bahan mentah dan peralatan untuk projek berkenaan.